Monday, February 14, 2011

Kesalahan-kesalahan Pengguna Facebook

Oleh :
http://nobisha.com/home/




Facebook membolehkan kita berkomunikasi dengan orang lain (termasuklah yang kita tidak kenali atau belum pernah bertemu). Ia merupakan jambatan membina hubungan dan bertukar-tukar fikiran. Umumnya, pengalaman pengguna Facebook adalah positif, bagaimanapun berhati-hatilah dengan beberapa perkara berikut”

1. Mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi

Sekiranya anda mendedahkan nama penuh, tarikh lahir, nombor telefon dan nama ibu di Facebook, sesiapa saja boleh mengakses maklumat kad kredit anda melalui telefon. Apa sahaja yang anda anggap sebagai “maklumat peribadi” sudah tidak lagi menjadi milik anda.

2. Menunjukkan kebodohan sendiri

Pertelingkahan melampau, melakukan “character assassination” atau menggunakan bahasa yang buruk hanya menunjukkan tahap dan cara berfikir seseorang. Orang yang dangkal berhujah akan menyerang orang lain – fokusnya bukan kepada “isu” tetapi kepada orang yang memberikan pendapat. Sekiranya anda berhadapan dengan orang sebegini, abaikan saja.

3. Mendedahkan rahsia pasangan (suami atau isteri)

Menulis sesuatu yang buruk terhadap pasangan, akan mengaibkannya. Ia juga mengakibatkan suami atau isteri kecil hati dan memburukkan keadaan. Sekiranya ada masalah, duduk dan berbincang; bukannya menghebahkan ke seluruh dunia melalui Facebook. Selain itu, berhati-hati dengan gambar intim suami-isteri. Apa sahaja yang anda letakkan dalam Facebook adalah menjadi milik awam – walaupun anda memadamkan kemudiannya.

4. Memasukkan pasir dalam periuk nasi

Menulis rasa tidak puas hati dan mendedahkan kelemahan organisasi atau majikan di Facebook. Hampir semua organisasi swasta berhadapan dengan cabaran yang getir, terutama dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu. Memburukkan tempat anda bekerja hanya menambahkan kesukaran pengurusan memajukan syarikat tersebut. Sekiranya anda fikir anda hebat, mempunyai idea besar dan kemahiran pengurusan yang lebih bagus, eloklah berhenti dari syarikat tersebut dan mulakan perniagaan sendiri. Saya doakan anda berjaya!

5. Menjadi pembuli siber

Mengejek, menyakitkan hati dan membuli orang lain. Seringkali pembuli menggunakan nama samaran. Pembuli siber hanya seronok menghentam atau membelasah sesiapa sahaja yang tak sependapat dengannya. Dia tidak berminat untuk bertukar-tukar fikiran atau mendengar pandangan orang lain. Dia merasakan dia seorang sajalah yang betul – orang lain semuanya salah. Dan, dia tidak berasa bersalah untuk membuli sesiapa saja yang tidak setuju dengannya. Delete atau sekat pembuli siber. Ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada sesiapa.

No comments:

Post a Comment

Salam,

Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..

Wassalam...