Sunday, February 6, 2011
Pemuda UMNO perlukan Viagra?
Mungkin Pemuda UMNO sudah menopause. Tetapi menuduh demikian akan menjadi satu penghinaan besar kepada kaum wanita kerana menyamakan fenomena biologi mereka dengan Pemuda UMNO. Mungkin Pemuda UMNO sudah mandul idea, tetapi sekali lagi menuduh demikian juga satu penghinaan kepada fenomena biologi manusia. Membaca petikan akhbar pelancaran ‘Gelombang Merah Pemuda UMNO Kelantan’ membuat saya tercari-cari kalimah sebenar untuk menjelaskan perasaan saya, mungkin pembaca boleh turut membantu.
Saya teringat ketika di Felda Chemplak Barat, pada satu malam kempen Pilihanraya Kecil DUN Tenang yang lalu. Malam itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijadualkan berucap di kubu kuat UMNO. Para blogger berterak-terak untuk menyaksikan detik bersejarah itu.
Di seberang lorong tempat Guan Eng dijadualkan berceramah, berdiri sekumpulan tidak lebih 12 orang Pemuda UMNO dengan lengkap beruniform Pemuda UMNO dan Pemuda BN. Mereka ke situ bukan untuk mendengar ceramah Ketua Menteri Pulau Pinang itu, tetapi untuk menzahirkan protes mereka terhadap kedatangan Guan Eng ke kawasan Melayu.
Beberapa ketika sebelum Guan Eng tiba, beberapa ketua mereka dilihat sedang berunding dengan pihak polis yang melingkungi mereka. Bagi saya, tindakan polis melingkungi mereka bukanlah bagi menghalang mereka mara ke hadapan sebaliknya bagi menjaga keselamatan mereka. Bahkan jika polis tidak berbuat demikian, saya syak mereka akan lintang pungkang berkeliaran lari bila melihat sekumpulan tidak lebih tiga puluh orang berkopiah merenung mereka.
Lim Guan Eng akhirnya tiba dan saya membuat keputusan untuk berada bersama sedozen pemuda UMNO itu dan bukan bersama Guan Eng kerana walau bersama sedozen pemuda UMNO itu, saya masih boleh mendengar dengan lantang dan lancar ceramah Guan Eng.
Bagaimana dengan suara protes sedozen pemuda UMNO itu? Yang saya dengar menyedihkan dan memalukan. Bermula dengan nyayian lagu-lagu patriotik dan berakhir dengan zikir dan selawat, mereka tidak membawa sebarang impak melainkan hanya untuk diri mereka sahaja.
Akhirnya Lim Guan Eng, mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka kerana sudi hadir sama di dalam ceramahnya.
Malam itu saya meluahkan rasa sedih dan kesal saya kepada mereka. Mungkin bahasa saya agak kasar, tetapi niat saya ikhlas. Pertama sekali saya bertanya, mengapa mereka memakai uniform UMNO/BN dan mengapa mereka tidak berpakaian seperti penduduk Felda dan berdiri bersama orang ramai. Adalah lebih berkesan jika Lim Guan Eng melihat penentangan terhadapnya datang dari orang-orang Felda. Lim Guan Eng tidak pelik jika yang menentangnya adalah sedozen lelaki dalam uniform UMNO/BN yang berselindung dicelah ketiak polis.
Apakah mereka memakai uniform itu supaya senang polis mengenalpasti mereka dan memberi perlindungan yang mereka harapkan?
Esoknya saya mengajak mereka bersama menyertai saya mendengar ceramah pimpinan PAS di Tenang Station. Syarat yang saya letakan ialah, kita mesti berdiri di saf paling hadapan dan memakai baju biasa, Apabila kita dengar tuduhan yang tidak benar dilemparkan oleh penceramah, kita angkat tangan dan dengan sopan memohon penjelasan atau membetulkannya. Itu adalah hak kita.
Saya juga memberi mereka semangat dengan memberitahu bahawa di Tenang, ceramah PAS hanya dihadiri oleh tidak lebih tiga puluh orang penyokong PAS dan tidak seperti di Kelantan, jadi tiada alasan untuk berasa takut.
Akhirnya, bila masanya tiba, saya seorang diri berdiri di hadapan sekali. Tiada seorang pun pemuda UMNO yang saya jemput hadir sama. Sungguh mengecewakan.
Apakah Pemuda UMNO tidak boleh berjuang jika tidak memakai logo UMNO dan BN di dadanya? Apakah perjuangan mereka semata-mata untuk UMNO dan BN dan bukan untuk rakyat? Bukankah rakyat didahulukan?
Apa perlunya Gelombang Merah dilancarkan untuk disertakan program-program mendekati rakyat? Tidakkah boleh rakyat didekati sepanjang masa tanpa perlu gelombang atau kempen atau musim pilihanraya?
Rasanya ramai diantara kita belum lupa kempen Pade Doh 18 yang dilancarkan sebaik Dewan Rakyat dibubarkan oleh bapa mertua ketua pemuda UMNO sekarang. Kempen yang pernah disamakan oleh YBM Ku Li sebagai perang salib.
Saya masih ingat pesanan sahabat karib saya di dalam PAS, katanya “Ayah Mat (Dato’ Asri Haji Muda) selalu pesan, kerja kita biar macam tarik rambut dalam tepung….”
Lantas Mustapa Mohamed sepatutnya tidak berkata, “Gelombang Merah bakal membawa perubahan kepada Kelantan yang selama ini dilihat masih tiada perubahan walaupun sekian lama kerajaan PAS memerintah dan kini negeri itu masih diselubungi isu tidak berkesudahan seperti isu bekalan air bersih, ketiadaan peluang pekerjaan untuk golongan muda, isu pembelaan para peniaga dan banyak lagi”
Itu hanya retorik. Mustapa perlu memimpin tangan Anuar Safian mendekati masalah rakyat dan menyelesaikannya sambil berbisik, rambut jangan putus, tepung jangan berselerakan.
Ingat, selesaikan masalah rakyat dan bukan mencipta gelombang untuk pujuk rakyat menyelesaikan masalah UMNO dan Barisan Nasional.
Dari : blog Syekh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Salam,
Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..
Wassalam...