Oleh : Zaini Hasan (utusan)
Tajuk : Hikayat Pada Masa Itu...
DAP dan para pemimpinnya kini sering merujuk kepada kejayaan Singapura. Singapura itu dan Singapura ini. Malah, kononnya Pulau Pinang juga kini mendapatkan pelbagai nasihat daripada republik itu.
Kelmarin, Tony Pua, penasihat ekonomi DAP yang juga Ahli Parlimen PJ Utara, turut merujuk kepada sistem yang diamalkan di Singapura apabila mahu menasihati kerajaan Selangor supaya mansuhkan diskaun pembelian rumah untuk bumiputera.
Apabila beliau memperlekehkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia, dia juga merujuk kepada Singapura yang menurutnya republik itu berada di tahap tertinggi berjaya menarik pelaburan berbanding dengan negara-negara ASEAN lain.
Asyik-asyik Singapura. Kita memang sedar DAP dan parti yang memerintah Singapura sekarang iaitu PAP ialah adik-beradik. Mungkin kerana itu, tumpuannya banyak berkiblatkan republik itu.
Singapura ialah sebuah negara sudah tiada beraja yang mengamalkan sistem republik. Ada juga desas-desus yang mengatakan corak sistem sebegitulah yang diidam-idamkan oleh DAP. Benar atau tidak, saya tidak tahu, tapi berat-beratnya macam betul? Apapun hanya Allah Yang Maha Esa sahaja yang amat mengetahuinya.
Ekoran kegawatan politik yang memperlihatkan – teori saya – orang Melayu berpecah kepada enam (rujuk Cuit 25 Mac 2009: Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti) maka tiada mustahil akhirnya, Singapura akan bersambung dengan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang (sudah seakan-akan Singapura sekarang) serta Kedah. Apabila kesemua negeri ini bersambung dengan satu ideologi, maka tidak mustahil sistem pemerintahan yang diidam-idamkan oleh DAP itu akan menjadi kenyataan.
Pada masa itu, Singapura akan dikenali sebagai Singapura Raya (the greater Singapore) dan ia tidak perlu bimbang lagi dan pada masa itu DAP akan menjadi sebuah parti yang akan mendapat sokongan padu orang- orang Melayu yang berpecah enam tadi.
Pada masa itu juga, Pas akan terus bekerjasama dengan DAP – sama-sama bertepuk belakang – dengan disokong oleh jiran seberang Tambak Johor (yang pada masa itu semua pihak akan bersetuju bahawa Tambak Johor bukan lagi bernostalgik, dan ia akan dirobohkan bagi membolehkan air laut Selat Tebrau yang cukup kotor itu dapat mengalir dengan tenangnya dan kapal-kapal dapat berlayar melalui selat itu.)
Pasa masa itu, Tony Pua serta Lim Guan Eng serta Lim Kit Siang (mungkin akan menjadi Menteri Mentor Malaysia) akan memerintah. Tony Pua pada masa itu tidak perlu lagi mencadangkan itu dan ini, tapi sudah boleh meminda apa-apa sahaja akta yang difikirkan perlu untuk rakyat Malaysia, khususnya yang berkepentingan orang Melayu.
Pada masa itu juga, orang Melayu akan menjadi orang yang paling tenang kehidupannya di alam maya ini. Dan, pada masa itu juga orang Melayu tidak lagi akan bercakap mengenai soal perpaduan Pas-UMNO, kerana mungkin UMNO sudah tiada lagi, atau mungkin sudah bertukar nama.
Pas pada masa itu, akan menjadi parti yang paling gembira kerana dapat mengembangkan ajaran agamanya tanpa sebarang paksaan (berbanding masa sekarang dan pada zaman Mahafiraun dulu).
Nik Aziz Nik Mat, jika masih hidup pada masa itu akan menjadi orang yang paling gembira, segembiranya beliau apabila dapat berjabat tangan dengan Lee Kuan Yew di Kota Bharu tidak lama dulu.
Pada Masa Itu Lagi...
SEKARANG DAP terlalu memuja Singapura kerana hebatnya negara itu. Dan memuji orang Malaysia kerana dapat bekerja dengan gaji besar di negara itu.
Pada masa itu, Singapura bukan lagi menjadi tempat tinggal yang paling baik untuk rakyat di negara pulau itu. Mereka mahu mencari tapak-tapak rumah yang lebih besar. Jika sekarang mereka hanya menghuni di rumah-rumah kiub, mereka mahukan rumah-rumah banglo.
Ia hanya boleh diperoleh di tanah Semenanjung yang cukup luas ini. Sekarang pun, jika orang Singapura diberi kerakyatan Malaysia - saya boleh bayangkan, pintu sempadan akan pecah dirempuh mereka.
Mereka mahu mencari tanah yang lebih luas untuk hidup. Sekangkang kera, sudah tidak cukup. Jutawan dan bilionwan sana mahukan rumah yang lebih besar untuk mendirikan mahligai masing-masing. Negara pulau itu sudah terlalu kecil.
Itu pasal sekarang pun, ramai yang sudah bermastautin di Australia atau New Zealand kerana mereka mahukan tanah yang luas.
Pada masa itu, soal batasan sempadan bukan masalah lagi. Berduyun-duyunlah orang seberang sana, mencari ketenangan di tanah Semenanjung atau Sabah dan Sarawak yang penuh dengan kehijauan ini.
Tanah kini terbentang luas bagi mereka. Tidak perlu lagi ke Australia atau pun New Zealand.
Hukum alam sebenarnya berputar. Ia ada kitarannya. Hanya orang yang tidak tahu sejarah, tidak pernah percaya wujudnya kitaran seperti ini. Ingat sejarah; Singapura dulu milik orang lain, kini milik orang lain.
Malaysia juga tidak terkecuali
No comments:
Post a Comment
Salam,
Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..
Wassalam...