Tuesday, August 17, 2010

Bulan Puasa Bukan Bulan Untuk Tunjuk Lagak

Oleh : Ramli Abdul Halim

KEWAJIPAN berpuasa yang menduduki tangga ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadat dan sembahyang lima waktu dalam senarai Rukun Islam yang lima, adalah untuk menginsafkan manusia, termasuk dari sudut keangkuhan dan ketakburan yang merupakan antara penyakit hati manusia yang sukar dibendung.

Keseronokan, kesenangan, kekayaan, kenikmatan dan sentiasa tidak pernah merasa lapar dan dahaga akan menjadikan manusia lalai, lupa dan tidak akan merasa simpati dengan manusia yang disebabkan oleh faktor dan keadaan-keadaan tertentu menjadikan mereka hidup dalam kesusahan walaupun mereka tidak minta dilahirkan sebagai manusia malang di dunia kepunyaan Allah ini.

Lapar dan dahaga adalah seperkara yang lumrah kepada golongan fakir miskin yang terpaksa hidup dalam kemiskinan dan kefakiran kerana barangkali itulah fitrah dirinya dalam menerima ujian Allah.

Kalau mereka lulus dalam ujian, yankini bersabar dan bersyukur dengan keadaan diri, mungkin si fakir miskin akan menjadi lebih kaya di akhirat nanti berbanding golongan kaya raya semasa di dunia tetapi bakhil dan lupakan Allah.

Manusia yang kaya juga diuji dan kekayaan itu adalah merupakan ujian. Manusia yang gagal dalam ujian dengan diberi kekayaan dan kemuliaan akan menjadi miskin dan hina dina di akhirat nanti. Kehidupan penuh bahagia di dunia akan bertukar dengan sengsara di akhirat nanti dan kekayaan yang dimiliki kalau silap gayanya akan menjadi kayu api neraka nanti.

Si kaya yang tidak lupakan Allah tidak akan memandang rendah, apatah lagi menghina golongan miskin kerana dengan adanya golongan miskin, akan memberi peluang kepada si kaya mengumpul pahala melalui huluran derma atau sedekah kepada golongan fakir miskin, paling tidak pun diadakan majlis berbuka puasa untuk golongan yang kurang bernasib baik dan berzakat.

Seandainya setiap umat Islam menghayati tujuan sebenar kewajipan berpuasa, baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz tidak akan menasihatkan pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal supaya tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadan atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Kalau orang kaya faham tentang hikmah dan tujuan kewajipan berpuasa, hotel-hotel bukannya menjadi pilihan untuk mereka menjadi pangkalan berbuka puasa, sebaliknya mereka akan pilih rumah-ruah anak yatim, rumah penempatan orang tua atau menganjurkan majlis berbuka puasa di rumah masing-masing khusus untuk golongan miskin.

Nasihat yang dibuat Ketua Pengarah JAKIM itu pastinya kerana dikhuatiri setelah berlapar seharian, umat Islam akan merosakkan ibadah puasa masing-masing dengan menikmati juadah yang tidak sahih kehalalannya sewaktu berbuka secara mewah dan ala pesta di hotel-hotel dengan lambakan makanan (kalau halal) yang dibazirkan sedangkan golongan yang miskin hanya berbuka dengan meneguk air putih dan nasi berlaukkan ikan masin.

Nasihat Ketua Pengarah JAKIM itu juga sekali gus menampakkan betapa sepanjang Ramadan, hotel-hotel menjadi tumpuan umat Islam berpesta berbuka puasa, malah ianya lebih bersifat mahu menunjuk lagak tentang kemampuan untuk bermewah-mewah sedangkan berlagak itu bukan sahaja tidak patut dilakukan pada bulan puasa tetapi juga pada bulan-bulan biasa kerana berlagak itu adalah di antara feel perangai syaitan laknatullah.

Bila berbuka puasa di hotel-hotel mewah dan tentulah pula kena berbelanja mewah, mahu tidak tujuan berpuasa tidak akan dapat dihayati dan difahami. Kewajipan berpuasa adalah supaya kita berlapar dan dalam keadaan lapar kita akan rasa tersiksa. Lazinya orang yang dalam keadaan sakit dan tersiksa akan mengingati Allah.

Tidak ada maknanya berpuasa kalau hikmah dan tujuan di sebalik kewajiban berpuasa itu tidak dihayati dan gagal difahami serta gagal diselami akan maksud dan tujuannya dengan yang kaya terus dengan lagak kayanya tanpa ada rasa mahu meringankan beban kemiskinan dan kesiksaaan hidup kalangan yang kurang bernasib baik yang sepatutnya diberi peluang menikmati juadah berbuka puasa hasil sumbangan golongan kaya yang sering membazirkan makanan dan minuman pada pesta berbuka puasa dihotel-hotel mewah yang membabitkan golongan yang sudah kaya.

No comments:

Post a Comment

Salam,

Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..

Wassalam...