Monday, August 2, 2010
Contoh Soalan Temuduga Kerajaan - SPA
1. Apa yang anda tahu tentang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)? Apakah peranan peranan yang dimainkan oleh SPA?
2. Kerajaan memperkenalkan konsep KPI (Key Performance Indicator) untuk mengukur kecekapan dan keberkesanan menteri menteri yang dilantik di dalam kabinet. Boleh anda ulas sedikit tentang ini?
3. Selain daripada KPI, apa lagi langkah langkah atau mekanisme yang membolehkan sesebuah majikan mengukur kemampuan seseorang pekerja?
4. Anda baru dilantik ke sebuah jabatan kerajaan. Anda mendapati, terdapat beberapa kepincangan dalam beberapa proses dan prosedur perkhidmatanyang diberikan oleh jabatan anda. Sebagai orang bawah yang baru sahaja bekerja, bagaimana anda boleh mengutarakan pendapat anda kepada pegawai lain yang lebih tinggi pangkatnya?
5. Aung San Suu Kyi adalah pejuang demokrasi yang dinafikan hak hak kemanusiaan oleh negaranya Myanmar. Sebagai sebuah negara yang berada di kerantauan yang sama, apa yang boleh dilakukan oleh Malaysia untuk menyuarakan kerisauan antarabangsa dan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan diplomatik kedua dua hala?
6. Bagaimana anda boleh menyelesaikan konflik atau perselisihan pendapat dengan rakan sekerja anda?
7. Setakat yang anda tahu, apakah tugas tugas yang bakal dipikul oleh Juruukur (atau jawatan yang dipohon) di jabatan ini?
8. Kenapa anda yang harus kami pilih, dan bukan calon lain? Apa kelebihan anda?
9. Apakah kelemahan anda yang harus kami ketahui? Adakah anda melakukan sebarang perkara yang akan membantu anda mengatasi kelemahan tersebut?
10. Sebagai seorang jurutera, selain daripada kepakaran teknikal, apa lagi kemahiran lain yang perlu ada pada beliau untuk membina sebuah kerjaya yang cemerlang dan membolehkan beliau menjadi seorang jurutera yang serba boleh?
11. Di manakah anda 5 tahun dari sekarang?
12. Sebagai seorang pegawai sumber manusia, apakah strategi yang boleh anda lakukan untuk memastikan tahap motivasi pekerja di semua jabatan atau unit berada pada tahap yang tertinggi?
13. Mengapa anda memohon jawatan ini?
14. Kenapa jawatan dalam kerajaan yang dipilih. Kenapa tidak swasta? Apa kelebihan dan kekurangan bekerja dengan kerajaan berbanding dalam sektor swasta?
15. Pada pendapat anda, adakah sistem pendidikan di negara ini berada pada landasan yang betul? Apa yang anda mahu lihat pada sistem pendidikan yang masih belum ada buat masa ini?
16. Sebagai pereka lanskap, apakah langkah langkah yang perlu diambil, serta faktor faktor yang mesti diambil kira sebelum anda melakukan sebarang rekaan di atas kertas?
17. Nyatakan sebarang pencapaian atau keterlibatan anda dalam membangunkan sistem teknologi maklumat, samaada di tempat kerja sebelum ini, di universiti atau di tempat tempat lain.
18. Jika anda keluar dari sektor swasta dan masuk ke jabatan kerajaan, bagaimana anda boleh meyakinkan kami bahawa anda tidak akan keluar dan masuk semula ke sektor swasta?
19. Seorang pegawai kerajaan akan sentiasa menghadapi kemungkinan untuk dipindah lokasi dan tempat bekerja. Terangkan respons anda terhadap komitmen sebegini. Bagaimana anda akan menyelesaikan segala cabaranyang muncul dalam proses perpindahan ini?
20. Nyatakan satu contoh di mana anda telah menonjolkan bakat kepemimpinan semulajadi dalam melaksanakan sesuatu aktivit atau programyang besar dan berjaya.
Sumber: Jobsmalaysiaonline.com
Sedikit Tentang Tips Lulus Temuduga Kerajaan
Temuduga merupakan proses yang perlu dilalui oleh mereka yang ingin menjawat jawatan awam atau kerajaan. Proses temuduga ini penting kerana ia merupakan antara benteng terakhir yang menentukan samaada usaha anda selama ini yang bersusah payah mengisi borang SPA dan juga menghadiri sesi ujian bakal memberi habuan atau sebaliknya kekecewaan.
Pastikan anda membuat persediaan rapi sebelum menghadapi sesi temuduga kerana tanpa persediaan yang secukupnya, anda akan pulang hampa dan kecewa.
Berikut adalah 5 tip asas dan mudah yang boleh diikuti oleh anda yang akan melalui temuduga kerja kerajaan:
1. Ambil berat adab dan tertib temuduga
Tampilkan pemakaian dan personaliti yang menggambarkan anda seolah olah seorang eksekutif yang yakin, berkarisma dan berketerampilan. Untuk lelaki, tali leher serta kasut, baju dan seluar yang berpadanan manakala untuk wanita, pemakaian eksekutif yang bersesuaian. Jangan segan silu untuk memakai kot atau blazer, kerana ia bukan sesuatu yang anda akan lakukan setiap hari. Pastikan anda datang awal ke sesi temuduga, lengkap dengan segala dokumen yang diperlukan.
2. Tahu tugas dan peranan anda
Semak semula jawatan yang dipohon dan senaraikan tugas tugas dan peranan yang mungkin dipikul jika sekiranya anda berjaya menjawat jawatan kosong yang ditawarkan. Jika ditanya, “Pada pandangan anda, apakah tugas tugas jawatan seorang Pegawai Penyelia seperti yang anda pohon sekarang?”, perkara terakhir yang anda inginkan berlaku adalah gagal menjawab soalan di atas dan hanya kelu tidak terkata di hadapan penemuduga. Dapatkan maklumat dari beberapa sumber seperti laman web, buku panduan, rakan rakan serta ahli keluarga yang bekerjaa dengan kerajaan.
3. Buat kajian mengenai struktur & organisasi pentadbiran kerajaan
Buat sedikit kajian mengenai beberapa jabatan atau kementerian terutamanya tugas tugas yang dipikul oleh jabatan yang berlainan. Buat perbandingan dengan pentadbiran negeri (dan sebagainya) untuk memahami perbezaan dari segi struktur dan fungsi. Ini terutamanya penting untuk mereka yang bakal menghadiri temuduga PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik).
4. Ambil tahu isu semasa dan terkini
Seorang kakitangan kerajaan perlu sentiasa peka dengan perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang berlaku di dalam dan luar negara. Sebagai contoh, penemuduga mungkin bertanyakan pendapat anda tentang dasar dasar luar Amerika yang diamalkan oleh Presiden barunya Barrack Obama. Manakala, dari konteks dalam negeri, anda mungkin diminta menghuraikan pandangan anda tentang konsep Satu Malaysia yang diperkenal oleh Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak.
5. Usaha jawab walaupun tidak tahu jawapan tepat
Bukan sesuatu yang memalukan jika anda tidak tahu jawapan kepada sesuatu soalan temuduga. Tetapi, jangan sekadar menjawab “maaf, saya tidak tahu”. Sebaliknya, cuba terangkan sejauh mana yang anda tahu dan tunjuk usaha kepada penemuduga bahawa anda sanggup bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu ilmu atau maklumat.
Sebenarnya, selain daripada menguji pengetahuan, penemuduga ingin mengetahui sejauh mana usaha atau inisiatif anda mencuba. Mereka juga ingin bersemuka dengan calon pekerja yang mempunyai kemahiran berkomunikasi dan mereka yang boleh membuat analisa kepada sesuatu persoalan dan isu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Salam,
Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..
Wassalam...