Monday, September 6, 2010

TDM Ke Pasir Mas, Kelantan


PASIR MAS – Satu sambutan besar-besaran akan diadakan bagi menyambut kedatangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di hadapan stesyen kereta api dekat sini pada 25 September ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, tujuan kedatangan Tun Dr. Mahathir adalah untuk menghadiri Perhimpunan Melayu Perkasa anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurutnya, pada majlis tersebut Dr Mahathir akan diarak dengan 3,000 motosikal dan diiringi kumpulan kebudayaan pahlawan sehingga ke lokasi perhimpunan.

Beliau berkata, semua pihak perlu menyedari perpaduan dalam kalangan kaum majoriti amat penting bagi sesebuah negara, disebabkan itu program tersebut diadakan bagi memberitahu kepada semua termasuk bukan Melayu tentang kepentingan ini.

“Perhimpunan ini adalah julung kali diadakan dan kami mahu menerangkan kepada semua bahawa sekiranya orang Melayu berpecah-belah ini maka negara ini tidak akan aman,” katanya ketika ditemui di Kampung Danga di sini.

Ibrahim berkata, perhimpunan bertemakan `Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Malaysia’ itu dijangka dihadiri hampir 25,000 peserta dari seluruh negeri ini bermula dari jam 3 petang.

Menurutnya, pemilihan Dr Mahathir untuk memberi ucap utama pada perhimpunan tersebut adalah kerana bekas Perdana Menteri itu merupakan orang yang ada autoriti untuk menghuraikan kemelut yang berlaku supaya orang ramai memahaminya.

“Kita melihat Dr Mahathir adalah orang yang paling sesuai untuk membicarakan mengenai perpaduan kerana beliau sudah melalui beberapa zaman iaitu pada zaman penentangan Malayan Union, pra merdeka dan selepas merdeka.

“Beliau juga pernah menjadi Perdana Menteri lebih dari 20 tahun. Kami percaya beliau dapat menghuraikan segala masalah yang berlaku sekarang berdasarkan pengalamannya,” katanya.

Menurutnya, negara kini dilanda pelbagai isu berkaitan agama seperti baling kepala babi dalam masjid, lempar arak ke surau dan kalimah Allah, dan masalah ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, disebabkan perkara tersebut, perhimpunan yang bakal diadakan itu dapat menjadikan orang bukan pribumi juga memahami masalah yang dialami negara sekarang.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, orang ramai perlu hadir untuk mendengar amanat Dr Mahathir itu supaya lebih jelas dengan keadaan terkini negara.

2 comments:

  1. BETUL...BETUL..
    KATA KATA MAHATHIR TELAH MENURUNKAN PAK LAH.
    DARI ITU, KATA KATA MAHATHIR JUGALAH YG AKAN MENAIKKAN MELAYU SEJAGAT.

    HIDUP MAHATHIR!

    ReplyDelete
  2. salam..dalam apa keadaan sekalipun Tun tetap negarawan yang unggul.

    ReplyDelete

Salam,

Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..

Wassalam...