Monday, May 9, 2011

Pemilihan PAS : Mat Sabu Masih Kekal Di Atas

Dari : Agendadaily

KALAU tengok dari jumlah pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PAS hingga hujung minggu lalu, 'Ayam Sabung PAS' Mohamad Sabu boleh senyum bila unggul di depan dengan menguasai lebih separuh pencalonan dari 133 yang selesai bermesyuarat.

Mohamad Sabu yang dikenal lantang dan popular di akar umbi juga mendapat pencalonan terbanyak dari dua negeri yang ditadbir PAS iaitu lapan dari Kedah dan enam dari negeri Kelantan, yang boleh dikatakan sebagai kemenangan moral sedangkan beliau sendiri merupakan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.
Beliau memperolehi 70 pencalonan manakala Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang akan mempertahankan jawatan tersebut hanya memperolehi 39 pencalonan dari hingga kini tiada satupun dari 13 kawasan yang sudah bermesyuarat di Kelantan.

Umum tahu Nasharuddin memang menghadapi masalah di Kelantan walaupun beliau merupakan Ahli Parlimen Bachok, ini berikutan orang nombor dua PAS itu tidak 'ngam' dengan beberapa orang 'taiko' politik PAS di negeri tersebut.

Selain mereka berdua, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menerima 17 pencalonan walaupun pernah membuat kenyataan terbuka tidak mahu bertanding jawatan nombor dua itu.

Sumber memberitahu Agendadaily, jika Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang masuk gelanggang, peluang Mat sabu untuk 'menggulingkan' Nasharuddin sedikit terjejas.

"Nasharuddin akan digantikan, beliau sudah dua penggal jadi timbalan presiden dan prestasinya 'biasa-biasa' saja. Jika Tuan Ibrahim tak bertanding, mungkin Mat Sabu boleh menang mudah, sebaliknya, jika pertembungan tiga penjuru, saya percaya Mat Sabu kena kerja kuat untuk menang," kata sumber tersebut.

Menurutnya, Tuan Ibrahim merupakan 'orang Presiden' dan seorang ulama yang juga bekas pensyarah universiti.

"Jadi dari segi kelayakan baik Tuan Ibrahim setara dengan Nasharuddin, dan kelebihan beliau adalah beliau muka baru untuk jawatan tersebut."katanya.

"Satu-satunya cabaran Mat Sabu adalah beliau bukan ulama, selain tidak memegang apa-apa jawatan kecuali dilantik sebagai
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat selepas kalah bertanding dalam pemilihan sebelum ini,"katanya.

Bagaimanapun kata beliau, hampir pasti Tuan Ibrahim hanya akan mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak penggal lalu.

"kalau kita lihat senarai pencalonan yang diterima Mat Sabu, kita tahu bahawa beliau menerima sokongan dari kawasan-kawasan baru yang selama ini tidak pernah mencalonkan beliau. Ia merupakan satu risiko jika Tuan Ibrahim mahu bertanding jawatan nombor dua,"katanya.

Selain mereka bertiga, turut menerima pencalonan adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan lima pencalonan, manakala seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masing-masing memperoleh satu pencalonan.

PAS akan mengadakan pemilihan parti pada Muktamar Tahunan ke-57 di Taman Melewar, awal bulan depan yang akan dihadiri 1,100 perwakilan daripada 179 kawasan dengan 15 Mei ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk kawasan mengemukakan pencalonan.

Baki 45 kawasan tidak termasuk Bachok, dijangka mengemukakan pencalonan sebelum tarikh tutup 15 Mei ini.

Pencalonan juga diterima daripada Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Mat Sabu bertanding merebut jawatan sama pada pemilihan 2009, membabitkan persaingan tiga penjuru antara beliau, Nasharuddin dan Datuk Husam Musa.

Sumber turut memaklumkan sehingga kini, Mat Sabu memperoleh enam pencalonan daripada 13 kawasan di Kelantan, termasuk Kubang Kerian, empat di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan (dua daripada 13 kawasan), Kedah (lapan daripada 15 kawasan), Perak (13 daripada 24 kawasan), Pulau Pinang (lima daripada 13 kawasan), Selangor (empat daripada 22 kawasan), Perlis (dua daripada tiga kawasan), Melaka (dua daripada enam kawasan), Sabah (lima daripada lapan kawasan), Johor (15 daripada 26 kawasan), Pahang (tiga daripada 14 kawasan) dan Sarawak (satu daripada lima kawasan).

Agendadaily difahamkan bagi jawatan Naib Presiden Tuan Ibrahim menerima pencalonan terbanyak dikuti Salahuddin Ayub dan seorang lagi penyandang Datuk Mahfuz Omar, selain itu turut menerima pencalonan adalah Exco PAS Kelantan Datuk Nik Amar Nik Abdullah, dan Nizar Jamaluddin.-9/5/2011

No comments:

Post a Comment

Salam,

Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..

Wassalam...