Sunday, July 18, 2010

Bahaya Janji dan Jerat Lelaki Beristeri

Berhati-hati dengan segala janji manis lelaki yang sudah beristeri, takut nanti anda pula terjerat dengan penipuan cinta keduanya.

Seperti pasangan yang belum berkahwin, mereka akan berusaha menyakinkan kekasih hati dengan godaan janji manis. Justeru, lelaki yang beristeri sanggup berbuat apa sahaja untuk memujuk rayu cinta keduanya dengan janji manis bagi menjerat wanita kedua yang bertahta di hatinya.

Benar apa yang diungkapkan, setiap bicara kata manis lelaki mampu melenturkan hati kekasihnya. Namun, anda harus berhati-hati dengan janji manis mereka, takut nanti anda dijerat masuk ke lubuk percintaan kali keduanya. Berikut kata-kata manis lelaki yang sudah beristeri untuk memikat wanita kedua yang hadir dalam hidupnya.

"Saya akan menceraikan isteri"
Janji itu seringkali dilafazkan oleh lelaki yang bergelar suami. Adakah janji itu akan ditunaikannya? Sayang sekali, kebanyakannya tidak mahu mengotakan janji. Pelbagai alasan diberi termasuk kes perceraiannya masih di peringkat penyelesaian di Mahkamah Syariah. "Sabar ya... sayang, proses perceraian itu akan selesai tidak lama lagi," begitulah antara kata-kata manis yang dilontarkan lelaki setiap kali anda menagih janji. Bercerai bukannya satu perkara yang mudah bagi seorang lelaki. Umumnya, mereka akan memilih untuk kekal dengan perkahwinan pertama berbanding perceraian walaupun kebahagiaan yang dicari selama ini gagal. Apatah lagi, sekiranya lelaki itu telah dianugerahkan cahaya mata. Ini kerana, lelaki seringkali bimbang kehilangan anak-anak apabila bercerai.

"Saya berjanji akan mengahwini anda"
Ramai daripada kita seringkali tertipu dengan janji-janji sebegini. "Tenang ya... sayang, tidak lama lagi saya akan menikahi anda." Inilah ucapan berulang kali yang akan dilontarkan lelaki sebagai satu cara untuk menunjukkan keseriusan dan ketaatan kepada anda.
Janji mengahwini kekasih terpaksa dibuat supaya si dia tidak berpaling arah pada cinta lain. Soalnya, bagaimana lelaki itu harus memberikan komitmen kepada anda, sedangkan dia terikat pada komitmen terhadap isteri dan anak-anaknya. Anda perlu menerima hakikat bahawa hanya segelintir lelaki yang benar-benar akan menceraikan isterinya semata-mata untuk menikahi kekasihnya.

"Saya akan bawa anda ke rumah"
Janji itu biasanya dilafazkan sebelum anda mengetahui tipu helahnya bahawa dia adalah hak kepunyaan orang lain. Dia berjanji akan menceraikan isterinya dalam masa terdekat tetapi tidak mungkin itu dapat ditunaikannya. Sekiranya anda bertanya bilakah dia akan menetapkan tarikh perkahwinan, biasanya lelaki itu akan mencipta pelbagai alasan termasuk terlalu sibuk dengan kerjaya. "Saya memerlukan masa yang sesuai" atau "saya semakin sibuk sejak kebelakangan ini," adalah antara alasan yang kerap bermain di bibirnya.

"Saya pasti datang ke rumah anda"
Bagi lelaki yang beristeri, bertemu dengan kedua-dua ibu bapa kekasihnya akan mengundang risiko yang besar. Pertama, ia menandakan keseriusan hubungan anda dengan dia, sedangkan dia sudah mempunyai komitmen lain. Kedua, dia belum bersedia berhadapan dengan pelbagai pertanyaan yang akan dilontarkan oleh ibu bapa anda. Dia berasa takut apabila statusnya terbongkar. Maka, dia akan menghindari segala perkara yang tidak diingini. Dengan itu, dia akan memberi janji manis untuk bertemu dengan ibu bapa anda, tetapi tidak sedikitpun berniat untuk berjumpa dengan mereka.

"Cuma kamu yang ada di hatiku"
Ucapan ini akan membuatkan anda terawang-awang. Dia tahu bahawa kata-kata seperti itu akan membuatkan perasaan anda cair. Tetapi, sebaiknya jangan mudah percaya dengan kata-kata itu. "Hanya kamu yang ada di hatiku?" Ah, itu satu pembohongan besar. Selain anda, di hatinya masih ada anak-anak dan isterinya. Malah, anda juga perlu tahu, merekalah yang mendapat tempat terbesar di hatinya.

"Aku akan membahagiakanmu"
Kalimat ini hanyalah janji-janji manis untuk dirinya. Dia tidak mampu membahagiakan anda, selain isteri dan anak-anaknya. Bagaimana dia mampu membahagiakan anda, sekiranya keinginan anda tidak mampu ditunaikan. Walaupun dia sering memberi hadiah mahal kepada anda, namun sebenarnya bukan itu yang anda harapkan. Anda menginginkan hubungan yang stabil dan mampu hidup bersamanya. Sayangnya, hal itu tidak mampu ditunaikan atas alasan komitmen lain yang perlu diutamakan.

"Selalu berada di sisi saat memerlukan"
Ini merupakan janji-janji bisa yang seringkali diucapkan lelaki yang beristeri bagi merayu kekasihnya. Padahal, dia tidak mampu memenuhi janji itu. Bagaimana dia boleh menemani anda saat memerlukan, jika anda dan dia hanya bertemu pada waktu bekerja. Ketika anda memerlukan nasihatnya, anda tidak mungkin menghubunginya di rumah atau pada waktu cutinya. Anda mungkin akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar jika menghubunginya ketika itu. Oleh itu, berhati-hati dengan kata-kata manis seorang lelaki, takut nanti anda pula yang terjerat dalam penipuan cinta suami orang.

No comments:

Post a Comment

Salam,

Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..

Wassalam...