Tuesday, July 20, 2010

Hatinya Hancur Kerana Kekasih Menipu

Ramaikan kawan/berkawan akan mengurangkan tekanan akibat 'frust'. Bagi muslim, dekatkan diri dengan Allah, sesungguhnya Allah tidak pernah dan tidak akan mengecewakan makhluknya.



Hati Hancur Kekasih Auta

Kaunseling Remaja


SAYA ada kekasih dan sudah bersama selama dua tahun. Perkenalan kami hanya melalui facebook dan tidak pernah bersua, hanya melalui gambar saja.

Saya pernah beritahu keluarga mengenai hubungan kami dan menerimanya. Saya sayangkannya, tetapi akhirnya dapat tahu dia sudah bertunang. Berita itu saya peroleh apabila membuka facebook adiknya.


Saya bertanyakan kekasih dan dia mengakui. Hati saya hancur. Dia mengaku pertunangan itu bukan kerelaan hatinya, tetapi pilihan keluarga dan tidak mampu melakukan apa-apa.


Saya bertanya sama ada dia masih sayangkan saya dan dia mengaku sayangkan saya dan tunangnya. Dia tidak akan melepaskan saya ke tangan orang lain dan bercadang berjumpa ibu bapa saya hujung tahun ini. Saya tidak mahu melukakan hati tunang dan hati saya sendiri. Apa harus saya buat?

KECEWA

Kuala Lumpur


HARI ini facebook memang menjadi medan perkenalan, pertemuan dan ada yang hingga ke alam perkahwinan namun bagi adik keadaan berbeza.

Perkenalan di alam maya ini membawa kepada perasaan kecewa kerana kekasih tidak jujur kerana tidak memberitahu dirinya sudah bertunang. Sukar bagi seseorang untuk mencintai sejujurnya dua orang pada waktu yang sama. Walaupun, secara lahiriah kekasih mengakui mencintai adik dan tunang, tetapi perasaannya, adakah dia dapat memberi keadilan kepada perasaan cinta dan sayangnya kepada dua wanita yang wujud dalam hidupnya? Sifat tidak jujur kekasih akan memakan diri adik. Apabila kekasih tidak mampu bercakap benar dalam perhubungan kalian pada waktu ini, ada kemungkinan besar dia menipu dalam perhubungan apabila sudah berkahwin.


Sesuatu yang perlu adik fikirkan ialah hubungan kekasih dengan tunangnya adalah satu ikatan sedangkan hubungan adik dengan kekasih tidak diikat. Apatah lagi, perhubungan ini bersifat maya. Tidak pernah berjumpa. Dari sudut kekuatan perhubungan, ternyata, tunang kekasih mempunyai kelebihan untuk memiliki kekasih adik. Seterusnya, apakah jaminan kekasih adik akan menunaikan janjinya berjumpa dengan ibu bapa adik pada hujung tahun ini? Selama ini dia tidak bersifat jujur dengan adik. Adik boleh meneruskan percintaan dengan kekasih, tetapi risikonya besar. Ia membabitkan hubungan tiga segi dan bukan mudah dilakukan.


Adakah adik sanggup menanggung risiko bercinta dengan orang yang sudah diikat hatinya?. Jika adik merasakan ia lebih membebankan untuk terbabit dalam hubungan berliku ini, adik boleh mengambil keputusan mengundur diri.


Sekali lagi perasaan dan hati adik akan hancur, tetapi ia perlu dilalui. Jika bukan sekarang, tetapi masa akan datang, kecuali jika kekasih memilih adik daripada tunangnya. Setakat ini, kekasih adik masih tidak mampu meninggalkan tunangnya. Apa yang mampu dilakukan ialah berdolak-dalih dengan adik dengan memberi janji yang manis.


Percintaan membabitkan tiga pihak memang memeritkan. Kekuatan perlu ada bagi adik membuat sebarang keputusan. Apapun keputusan diambil, ia bukan mudah.

Namun, pilihlah jalan yang lebih membawa kebaikan sama ada pada masa sekarang atau akan datang. Hanya adik lebih tahu apa keputusan itu.

Di CopyPaste dari : Metro

No comments:

Post a Comment

Salam,

Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..

Wassalam...