Saturday, July 24, 2010

Kopitiam Diragui (Halal atau Haram?)

KUALA LUMPUR 24 Julai – Penyediaan makanan berasaskan daging di hampir semua kopitiam di negara ini diragui status halal setelah pengusahanya didapati mendapatkan sijil halal hanya dengan menelefon syarikat yang mengeluarkannya.

Perkara itu didedahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hasil serbuan dan siasatan berikutan aduan orang ramai.

Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar berkata, siasatan pihaknya mendapati syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal itu tidak melakukan pemeriksaan di premis kopitiam terbabit apatah lagi di pusat penyembelihan dan status bekalan daging.

Jelas beliau, sebaliknya syarikat terbabit mengeluarkan sijil halal itu dengan hanya menemu bual pengusaha tersebut melalui telefon sahaja.

Menurutnya, justeru, semua makanan berasaskan daging yang disediakan oleh kopitiam di negara ini diragui status halal.

“Permohonan dibuat melalui telefon... pihak syarikat (halal) itu akan menyoal sama ada mereka menyediakan alkohol atau menyediakan daging babi dan beberapa soalan lain.

“Jika tiada, ia bermakna premis itu layak menerima sijil halal,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini mendedahkan sebuah kopitiam di Kepong yang diserbu penguat kuasa Jakim selepas dipercayai mendapatkan bekalan ayam daripada sebuah pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf.

Saimah berkata, hampir keseluruhan kopitiam di negara ini menggunakan sijil halal dikeluarkan oleh syarikat swasta kerana lebih mudah dan cepat diperolehi.

Beliau memberitahu, sebaliknya jika dipohon daripada Jakim, ia memerlukan pemeriksaan yang menyeluruh daripada restoran sehingga ke pusat penyembelihan.


-Utusan

1 comment:

  1. Anak Melayu KedahJuly 24, 2010 at 5:44 PM

    Bayangkanlah sudah berapa ramai penggemar-penggemar kopitiam status ini yang telah makan "bangkai" selama ini.

    Undang-undang dan logo halal bukan segalagalanya.
    Yang penting empunya diri.

    Kalau dah ragu, elakkan saja dari mengunjunginya.

    ReplyDelete

Salam,

Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..

Wassalam...