Wednesday, April 13, 2011
Bertembungnya Hadi-Najib
BETONG, 13 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada Rabu melakukan lawatan kerja ke beberapa kawasan di Sarawak, bertembung dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedang berkempen bagi calon PAS, di Pasar Pusa, pekan Pusa dekat sini.
Lawatan ke Pusa adalah program pertama Najib hari ini, dan beliau yang ditemani Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Karim dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro Razaili Gapor berjumpa dengan orang ramai di pasar itu.
Ketika kedua-duanya bertembung di pasar itu, Najib dan Abdul Hadi dilihat bersalaman dan berpelukan.
Pada pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini, kerusi DUN Beting Maro menyaksikan pertembungan antara Razaili dengan calon PAS Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.
Dalam ucapannya di pekan Pusa, Najib berkata beliau mempunyai hubungan peribadi yang cukup baik dengan Abdul Hadi tetapi daripada segi politik beliau tidak dapat menerima pendirian Presiden PAS itu.
"Ini kerana PAS bekerjasama dengan DAP. DAP memperjuangkan perkara-perkara yang merugikan orang Islam. Kerjasama PAS-DAP ini tidak menguntungkan orang Islam," katanya.
Beliau berkata sebaliknya apa yang diperjuangkan BN adalah untuk menyatukan rakyat Malaysia menerusi gagasan 1Malaysia.
Perdana Menteri kemudiannya menaiki bot panjang untuk ke satu lagi kawasan Pusa, yang dipisahkan oleh Sungai Saribas.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Salam,
Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..
Wassalam...