Thursday, March 3, 2011

Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) Diteruskan



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu mengumumkan berita gembira buat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang menerima surat pemberhentian pada tahun lepas bahawa notis itu ditarik balik.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus dikekalkan.

"Saya minta Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun, kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dividen ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas Tongod di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak dan terdapat pemintaan termasuk daripada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar kontrak mereka ini disambung semula.

Muhyiddin berkata beliau sudah mengeluarkan arahan sejak dua bulan lepas bagi menarik balik surat pemberhentian itu dan mengekalkan khidmat GSTT terlibat.

Menurutnya keputusan mengekalkan GSTT adalah bagi memberi mereka peluang menjadi guru yang terlatih.

"Jika mereka hendak diserapkan kepada guru terlatih dan tidak cukup kelayakan, pendekatan yang sesuai diambil adalah memberi mereka peluang mengikuti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti," katanya.

Menurut beliau, pendekatan ini membolehkan GSTT meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang mata pelajaran pilihan bukan am seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik.

Muhyiddin mengingatkan GSTT supaya bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar bertugas semula di sekolah asal.

"Pengambilan GSTT yang baru jangan diisi dahulu tetapi disemak dahulu dengan Pengarah Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran," katanya.

- BERNAMA 03/03/2011

No comments:

Post a Comment

Salam,

Kepada penjenguk Blog, Jika ingin meninggalkan komen, sila letak nama pena atau nama singkatan. Tulis dengan bahasa yang baik dan mudah. Bahasa atau ayat kutuk-kutuk, provokasi, maki makian adalah dilarang..

Wassalam...